Monday, 9 September 2013







MACHANG - Pelajar  institusi pengajian tinggi diminta mengkaji  dan tidak mudah terpengaruh  dengan isu-isu  yang  memburukkan kerajaan  terutamanya membabitkan soal pendidikan bagi mengelakkan salah faham.

Penaung Persatuan Mahasiswa Machang Malaysia (Pemancar), Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, isu tersebut tidak boleh diterima mentah-mentah sebaliknya perlu  dikaji secara profesional termasuk  mendapatkan fakta sebenar.

Katanya, pelbagai cara digunakan oleh pihak yang berkepentingan dalam usaha meraih sokongan  pelajar termasuk memanipulasi kemudahan yang disediakan kerajaan.

Justeru tambahnya, pihak tidak bertanggungjawab itu cuba memainkan sentimen pelajar dengan membangkitkan isu berkaitan kepentingan golongan terbabit dengan memanipulasikan fakta sebenar.

“Contohnya dalam isu PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional) baru-baru ini, dalam isu ini pemimpin politik pembangkang telah cuba mencuri perhatian pelajar dengan berjanji kononnya akan menghapuskan skim itu jika mereka diberi mandat.

“Dari segi fakta jelas tiada rasionalnya janji mereka kerana PTPTN bukan wang kerajaan tetapi wang daripada agensi kewangan dan skim ini diperkenalkan oleh kerajaan adalah semata-mata untuk membantu golongan pelajar,” katanya pada majlis Ahli Parlimen Bersama Mahasiswa dan Mahasiswi anjuran Pemancar di sini, kelmarin.

Turut hadir Timbalan Rektor Universiti Teknologi Malaysia (UiTM) Machang, Prof. Madya Zulkarnain Yusof, Koordinator Penyelidikan Institut Pengajian Siswazah UiTM Kelantan, Prof. Madya Zainudin Awang.


Kira-kira 3,000 pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta serta ibu bapa memeriahkan majlis yang berlangsung  di Sekolah Kebangsaan Machang 2, itu.

Majlis tersebut juga bertujuan memperkenalkan Pemancar dan menarik lebih ramai ahli bagi menyertainya seterusnya bekerjasama dalam usaha memberi manfaat kepada masyarakat sekitar.

Ia melibatkan seluruh anak-anak Machang yang belajar di dalam dan luar negara dalam usaha memupuk semangat kesukarelaan dan melahirkan generasi muda, modal insan kelas pertama.

No comments:

Post a Comment